Siak Tak Mengaku Salah Rogol Anak

KOTA BHARU: Seorang penjaga masjid (siak) didakwa di Mahkamah Sesyen semalam atas pertuduhan merogol anak di sebuah rumah di Kuala Krai pada Ogos 2020.

Tertuduh berusia 51 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 13 tahun ketika kejadian yang mana hubungan lelaki dan perempuan tidak dibenarkan mengikut hukum agama dan tidak layak berkahwin.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kuala Krai jam lebih kurang 10 malam pada 25 Ogos 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun hingga 30 tahun dan juga sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan tertuduh diwakili peguam, Mohd Taufikrullah Rusli.

Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes berkenaan serius dan mangsa adalah anak kandung tertuduh.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 21 September sebagai tarikh sebulan semula kes dan tiada jaminan ditawarkan.

BBerkaitan

Latest articles