SANDAKAN: Bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin tampil membuat laporan polis terhadap ahli perniagaan, Albert Tei, susulan dakwaan bahawa beliau menerima arahan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merakam beberapa ahli politik di Sabah.
Shamsul menyifatkan kenyataan Albert sebagai fitnah serius yang direka dengan niat jahat bagi mencemarkan reputasi Perdana Menteri serta menggugat kestabilan kerajaan, lebih-lebih lagi ketika kempen Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah sedang berlangsung.
Beliau menegaskan bahawa tuduhan itu merupakan satu usaha tersusun untuk menjatuhkan kerajaan melalui cara tidak demokratik.
“Saya tidak akan membenarkan mana-mana pihak menggunakan nama atau jawatan saya sebelum ini sebagai alat untuk menyerang kerajaan atau memburukkan imej Perdana Menteri,” katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Sandakan pada jam 5 petang semalam.
Shamsul turut menyatakan keyakinannya bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memulakan siasatan segera dan beliau bersedia memberikan kerjasama penuh kepada mana-mana agensi, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), jika diperlukan.
Laporan polis itu menyusul sehari selepas Shamsul mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri berikutan pendedahan yang mengaitkannya dengan surat sokongan projek pembinaan hospital serta dakwaan menerima lebih RM600,000 daripada Albert Tei.
Menurutnya, keputusan tersebut dibuat bagi mempertahankan diri daripada serangan yang boleh menjejaskan imej Kerajaan Madani.










