KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Albert Tei, dan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, bakal dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan Shah Alam pada Khamis dan Jumaat susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan pemberian rasuah membabitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, memaklumkan bahawa kertas siasatan terhadap kedua-dua individu berprofil tinggi itu telah lengkap, sekali gus membolehkan proses pendakwaan dimulakan.
Menurutnya, mereka akan menghadapi lima pertuduhan keseluruhan di bawah Akta SPRM 2009.
Azam menjelaskan, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis, kedua-duanya akan berdepan empat pertuduhan, dengan Shamsul didakwa menerima suapan di bawah Seksyen 17(a), manakala Albert Tei pula dituduh memberi suapan mengikut Seksyen 17(b) akta sama.
Pada Jumaat pula, masing-masing bakal dituduh lagi satu kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Siasatan SPRM sebelum ini turut membawa kepada penahanan Shamsul Iskandar, Albert Tei dan Sofia Rini Buyong pada 28 November lalu.
Shamsul dan Sofia ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, manakala Albert diberkas di kediamannya di Puchong.
Dalam tempoh seminggu siasatan, SPRM telah memanggil 32 saksi untuk dirakam percakapan, tidak termasuk tiga individu yang ditahan.
“Kita telah lengkapkan semua rakaman percakapan saksi, dan akan dimaklumkan jika mereka diperlukan hadir ke mahkamah,” kata Azam.










