Shamsul Anuar Soal PH – “Tak Nak PRN Johor Kerana Takut Kalah?”

KUALA LUMPUR: “PRN Melaka kalah, PRN Sarawak pun kalah. Jadi PH bimbang terus kalah di Johor. Sebab itu tidak setuju diadakan PRN Johor.”

Itu respon Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah selepas Pakatan Harapan (PH) Johor menolak pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Kenyataan pimpinan PH Johor, yang diwakili Pengerusi Parti Amanah Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Johor Liew Chin Tong menyebut penolakan PRN Johor disebabkan pandemik COVID-19 dan pembangunan ekonomi negeri.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar berpandangan penolakan PH Johor itu ada kaitan dengan dua kali kekalahan gabungan itu dalam PRN Melaka dan PRN Sarawak.

Namun dalam masa yang sama, Ahli Parlimen Lenggong itu mahu tumpuan masa kini diberikan terhadap mangsa-mangsa banjir.

Untuk rekod, Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada ketika ini berada pada angka 28-27 selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian meninggal dunia pada 21 Disember lalu.

Sebelum ini, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dilaporkan berkata, kerajaan negeri akan melihat dan memantau keadaan semasa termasuk meneliti keperluan untuk mengadakan PRN, kerana mempunyai kelebihan hanya satu kerusi DUN.

Kerajaan negeri yang diterajui Barisan Nasional (BN) itu wujud dengan komposisi BN 16 kerusi; BERSATU (11); dan PAS (satu) manakala PH pula 27 kerusi.

BBerkaitan

Latest articles