Shahril Cabar Tindakan Bapa Batalkan Hibah RM14.85 Juta

PUTRAJAYA: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura Holdings Sdn Bhd, Shahril Shamsuddin, telah memutuskan untuk mencabar permohonan bapanya, Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir, di Mahkamah Tinggi Syariah berhubung usaha membatalkan hibah bernilai RM14.85 juta yang diberikan kepadanya hampir tiga dekad lalu.

Dalam prosiding pengurusan kes hari ini, peguam Rafie Shafie yang mewakili Shahril memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya telah mengarahkan supaya permohonan bapanya itu dicabar sepenuhnya.

Rafie turut memberitahu bahawa writ saman dan pernyataan tuntutan oleh Shamsuddin hanya diterima anak guamnya pada 13 Oktober lalu.

Pendaftar Niana Nazahar kemudian menetapkan 18 November sebagai tarikh pengurusan kes seterusnya.

Shahril, 64, tidak hadir pada prosiding pagi tadi.

Sementara itu, peguam Suhaimi Saad yang mewakili Shamsuddin berkata, pengasas Sapura berusia 94 tahun itu telah memfailkan dua permohonan berasingan iaitu satu bagi mengesahkan hibah kepada dua anak lelakinya, Shahril dan Shahriman Shamsuddin, dan satu lagi untuk membatalkan hibah yang diberikan kepada Shahril.

Menurut Suhaimi, hibah berkenaan melibatkan 14,850,000 unit saham dalam Sapura Holdings yang diberikan kepada setiap anak pada 7 November 1997.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan mengapa Shamsuddin memilih untuk hanya membatalkan hibah kepada Shahril.

Shahriman, 56, yang turut hadir di mahkamah, dinamakan sebagai defendan kedua bagi tujuan pengesahan hibah yang diterimanya.

Peguam, Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Shahriman berkata anak guamnya tidak membantah permohonan bapanya untuk mengesahkan hibah tersebut.

BBerkaitan

Latest articles