Shahidan Nafi DBKL, Perbadanan Putrajaya Lewat Gerakkan Operasi Banjir

PUTRAJAYA: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) melalui Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah memulakan operasi membantu mangsa banjir di luar dua Wilayah Persekutuan itu sejak 18 Disember, bukan selepas empat hari bencana itu melanda Selangor.

Perkara itu ditegaskan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, dengan memaklumkab bahawa KWP sentiasa memastikan pengurusan banjir di Kuala Lumpur dalam keadaan terbaik, namun pada masa sama tetap tidak lupa menyumbang tenaga dengan membantu mangsa banjir di luar Wilayah Persekutuan.

Malah, operasi bantuan KWP melalui DBKL di luar Kuala Lumpur bermula pada 19 Disember, manakala melalui Perbadanan Putrajaya (PPj) pula, bantuan di kawasan-kawasan yang terjejas banjir dihulurkan sejak 18 Disember lagi.

“DBKL menghantar bantuan ke kawasan Kampung Baru Hicom, Seksyen 26, Shah Alam pada 19 Disember dan Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 20 Disember. Sejak 19 Disember hingga kini, DBKL sudah mengerah 121 orang anggota Jabatan Penguatkuasaan dan jabatan dalaman lain serta menghantar asetnya ke kawasan terbabit.

“DBKL juga menyediakan enam tandas bergerak dengan sebuah tangki air untuk kemudahan mangsa banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tegas Shahidan, adalah tidak benar dakwaan pelbagai pihak seperti yang tersebar di laman sosial bahawa KWP melalui agensinya hanya bertindak menghulurkan bantuan selepas empat hari kejadian banjir menimpa negeri jiran, Selangor.

“Kuala Lumpur juga berdepan banjir buruk dan tanah runtuh akibat hujan lebat berterusan. DBKL terbabit dengan kerja-kerja operasi membantu, menyelamat dan membersih kawasan-kawasan yang terkesan dengan banjir di ibu kota,” katanya.

Beliau berkata, antara tindakan dan bantuan disalurkan, termasuk menyelamat dan memindahkan 57 mangsa terkandas di kawasan banjir, mengagihkan makanan kepada mangsa bencana itu hasil sumbangan KK Mart dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

PPj pula, katanya, menggerakkan bot ke Kampung Sungai Serai, Hulu Langat dan tiga unit ‘sailing optimis’ untuk menghantar makanan ke Taman Baiduri, Dengkil sejak 18 Disember, manakala pada 20 Disember, menggerakkan misi membantu mangsa banjir sekitar Mukim Labu, Dengkil dan Kampung Olak Lampik, Kuala Langat.

Katanya, bantuan diteruskan dengan PPj menggerakkan 50 anggota dan sukarelawan bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan serta bantuan ke Kampung Labu Lanjut, Sepang, bermula hari ini, selain dua lori, dua lori tangki, 15 kenderaan pacuan empat roda dan jentolak.

“PPj juga menyediakan peralatan pembersihan seperti 15 unit ‘water jet’, tiga unit pam air, satu set jana kuasa dan empat tong sampah ‘roro’ bagi tujuan itu. Kerja-kerja tertumpu kepada pembersihan kemudahan awam seperti surau An Nur Desa RTB, masjid, balai raya mini serta taman permainan kanak-kanak,” katanya.

Katanya, kemudahan tumpuan itu di kawasan sekitar Kampung Baru Lanjut, iaitu di Taman Dataran Abadi, Kampung Baru Lanjut, Taman Salak Pekerti, Taman Salak Budi, Taman Indah Puteri, Taman Salak Kasturi, Taman Intan Baiduri, Perumahan Haji Malik dan Taman Salak Lestari.

“Untuk misi bantuan di Sepang ini, ia turut dibantu pelbagai agensi, antaranya Pejabat Daerah dan Tanah Sepang, Majlis Perbandaran Sepang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles