Shahidan Kasim sah bertanding atas tiket PN di Arau

MARANG: Penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kasim sah bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perkara itu itu diumumkan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Saya ingin membuat satu pengisytiharan untuk mengemukakan tokoh calon peringkat nasional.

“Calon PN di kerusi yang diperuntukkan untuk PAS, P003 Arau, Perlis ialah Datuk Seri Shahidan Kassim,” katanya pada Majlis Pengisytiharan Calon PAS Terengganu di Masjid Rusila, Marang, Terengganu pada Khamis.

Terdahulu, perkara itu turut diumumkan oleh Pengerusi PN Perlis, Mohd Shukri Ramli pada Majlis Perisytiharan Calon PRU15 Perikatan Nasional Negeri Perlis di Kompleks Pas Kangar pada Khamis.

Pada majlis itu, Shahidan turut menerima watikah pelantikan daripada Hadi Awang dengan disaksikan Naib Presiden PAS merangkap Pengerusi PN Terengganu, Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar.

Sebelum ini, Shahidan digugurkan dari senarai calon mewakili BN seperti yang diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kelmarin.

BN menamakan Datuk Rozabil Abd. Rahman yang juga bekas Ketua Setiausaha Politik Shahidan sebagai calon di Parlimen Arau.

 

BBerkaitan

Latest articles