Shahidan: Hadi Paling Layak Pimpin PN

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) Perlis menyatakan sokongan terbuka terhadap Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, sebagai figura paling sesuai untuk menerajui gabungan itu di peringkat pusat, susulan pengunduran beberapa pimpinan tertinggi PN kebelakangan ini.

Pengerusi PN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pendirian Abdul Hadi bahawa PAS wajar mengambil alih kepimpinan PN perlu dihormati semua pihak dalam gabungan berkenaan.

Menurut Shahidan, soal calon selain Abdul Hadi bukan isu besar kerana keputusan akhir tetap terletak di tangan presiden PAS itu sendiri.

Katanya, PN Perlis akan memberikan sokongan penuh kepada sesiapa sahaja yang dinamakan, sama ada Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar atau Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Siapa pun yang disebut oleh Tok Guru, kami akan sokong tanpa syarat dan patuh kepada keputusan parti,” katanya.

Mengulas lanjut, Shahidan menegaskan faktor senioriti wajar diambil kira memandangkan PN merupakan gabungan utama PAS dan Bersatu.

Katanya, setiap parti pasti berdepan cabaran dalaman, namun keutamaan PN ketika ini adalah memastikan kestabilan dan keharmonian gabungan.

“Ribut dan taufan itu perkara biasa dalam politik, tetapi yang penting kita mahu suasana aman dan kukuh,” ujarnya.

Beliau turut menolak spekulasi bahawa PN akan bergerak secara solo, sebaliknya menegaskan gabungan itu akan akur dengan apa jua keputusan yang diputuskan pucuk pimpinan.

Terdahulu, beberapa pemimpin kanan PN termasuk Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, melepaskan jawatan masing-masing bagi membuka laluan kepada kepimpinan PAS menerajui PN menjelang Pilihan Raya Umum ke-16.

BBerkaitan

Latest articles