KUALA LUMPUR: Sebagai membuktikan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) masih utuh, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mencadangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah, Kelantan dan Terengganu disegerakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, selesai.
Bekas pemimpin UMNO itu mendakwa ini adalah tempoh terbaik untuk negeri-negeri ditadbir PN, memandangkan rekod jumlah kerusi yang dimenangi pada PRU15, 19 November lalu.
Shahidan percaya PN mampu mencatatkan kemenangan besar dan akan mengekalkan pentadbiran kerajaan negeri.
“Jadi selepas pilihan raya ini, saya ingat ‘askar-askar’ kami pun tak balik lagi, khemah-khemah perpaduan ummah kami ada di sini, terus dengan pilihan raya negeri saya rasa di Kedah macam di Perlis PN akan sapu bersih,” katanya dalam sidang media semalam.
Pada PRU15 lalu PN menang di 14 daripada 15 kerusi DUN di Perlis dan menyapu bersih tiga kerusi Parlimen di negeri itu iaitu Padang Besar, Kangar dan Arau.
PN turut menyapu bersih 14 kerusi Parlimen di Kelantan dan lapan kerusi di Terengganu, serta menang 13 daripada 14 kerusi Parlimen di Kedah.