Shafie Hilang Sokongan Lebih 1,000 Ahli Warisan

Belum reda isu saman berkaitan Tan Sri Musa Aman dan Yayasan Sabah, kali ini Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal menerima tamparan baru apabila lebih dari 1,000 ahli Parti Warisan Sabah mengumumkan keluar parti dengan alasan kecewa dengan sikap pemimpin parti.

Jumlah tersebut turut membabitkan 11 ketua cawangan di bawah Pusat Daerah Mengundi (PDM) Airport dan Sibugal, dipimpin oleh ketua cawangan Sejati 1, Ibrahim Yusof.

Ibrahim mendakwa nasib ahli-ahli parti terkontang-kanting apabila pemimpin tertinggi enggan mengambil peduli mereka sejak menang Pilihan Raya Umum ke-14 dua tahun lalu.

“Kami telah bertungkus lumus untuk memenangkan Warisan pada PRU-14 lalu, tetapi kami langsung tidak dihargai.

“Antaranya, cawangan kami gagal didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), walaupun telah hantar borang pendaftaran sebelum PRU-14 lagi,” katanya pada sidang akhbar mengenai perkara itu yang turut dihadiri kesemua 11 ketua cawangan terlibat.

Bagaimanapun Ibrahim enggan mengaitkan tindakan keluar parti itu dengan mana-mana pemimpin atasan dan menegaskan ia sebagai keputusan setiap individu.

Ibrahim memaklumkan beliau akan menyertai sebuah parti tempatan iaitu Parti Perpaduan Rakyat Sabah, manakala yang lain mahu menjadi ahli bebas.

BBerkaitan

Latest articles