Shafie Gugup Bila Diajukan Manifesto Warisan

KINABATANGAN: Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kelihatan agak ‘terganggu’ apabila ditanyakan tentang manifesto parti itu bagi memenangi PRU15.

Seolah-olah cuba mengawal situasi, Shafie secara spontan memberikan beberapa cetusan idea berbentuk pembayang.

“Manifesto kami kali ini ringkas sahaja tapi bermakna,” ujar beliau sambil menggariskan lima perkara penting yang kononnya menurut beliau, terkandung dalam manifesto parti itu untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15) kali ini.

Kenyataan itu dibuat semasa beliau hadir ke Majlis Bertemu Rakyat anjuran Warisan di kawasan parlimen Kinabatangan, semalam.

“Kita tengoklah nanti bagaimana keadaannya,” ujarnya ringkas.

Diajukan lagi, Shafie memberitahu bahawa intipati manifesto itu termasuklah matlamat untuk memperkukuh perpaduan dan tadbir urus yang telus sekiranya Warisan berkuasa.

Malah Shafie mendakwa partinya itu ingin menawarkan kerajaan yang bersih, berintegriti, inklusif serta adil untuk rakyat.

“Kami mahu kerajaan yang menjalankan tanggungjawabnya dengan telus, serta kerajaan yang adil & saksama supaya semua lapisan rakyat berhak mendapat bantuan daripada kerajaan.”

Turut hadir pada majlis itu ialah Mazliwati Abd Malek, calon Warisan bagi kerusi parlimen P187 Kinabatangan, dan juga Ketua Warisan Bahagian Kinabatangan, Ismail Ayob.

Dalam pada itu Shafie melahirkan keyakinan Warisan untuk memenangi satu-satunya kerusi yang menyaksikan pertemuan satu lawan satu itu.

“Warisan tidak akan letakkan calon di Kinabatangan sekiranya kami tidak yakin boleh menang,” ujarnya.

Untuk rekod bagi kesemua 25 kawasan parlimen di Sabah, sebanyak 24 kerusi memperlihat pertembungan antara sekurang-kurangnya 3 penjuru.

Berbeza dengan Kinabatangan yang menyaksikan situasi satu lawan satu antara pendatang baharu arena politik Mazliwati Abd Malek dengan penyandang yang juga merangkap Pengerusi BN Negeri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang telah memegang kerusi tersebut selama lima penggal sejak 1999.

Dalam pilihan raya umum ke-14 tahun 2018, Bung menang dengan majoriti selesa sebanyak 9,478 undi menewaskan Ghazali Abdul Ghani dari Warisan, dan juga Mustapa Datu Tambuyong (Parti Harapan Rakyat Sabah).

Latest articles

Related articles

spot_img