KUALA LUMPUR: Peguam bela Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah merayu Mahkamah Tinggi agar hanya menjatuhkan hukuman paling minimum yang dibenarkan undang-undang terhadap bekas Perdana Menteri itu, dengan menegaskan tertuduh telah menanggung penderitaan besar sepanjang proses perbicaraan.
Menurut Muhammad Shafee, Najib telah mengabdikan hampir lima dekad hidupnya kepada perkhidmatan awam dan sentiasa menunjukkan sikap berhemah serta memberi kerjasama penuh sejak ditahan.
Katanya, bekas Presiden UMNO berusia 72 tahun itu tidak pernah melarikan diri atau cuba mengelak daripada proses undang-undang, malah sentiasa menghormati mahkamah pada setiap peringkat prosiding.
“Yang tinggal hanyalah permohonan kami agar Mahkamah Yang Mulia ini mempertimbangkan keadilan dengan penuh belas ihsan. Hukuman undang-undang yang ditanggung tertuduh sudah pun berat,” katanya ketika mengemukakan hujahan mitigasi.
Beliau turut memohon agar sekiranya hukuman penjara dikenakan, ia dilaksanakan secara serentak dan sebarang denda ditetapkan mengikut kemampuan serta keadaan peribadi Najib.
Menurutnya, keadilan bukan semata-mata soal pembalasan, sebaliknya perlu mengambil kira prinsip perkadaran, kemanusiaan dan sifat ihsan dalam pelaksanaan undang-undang.
Muhammad Shafee juga menekankan faktor usia dan tahap kesihatan anak guamnya sebagai pertimbangan penting, dengan menyatakan Najib berdepan pelbagai masalah kesihatan serius termasuk hipertensi kronik, keradangan lutut serta menjalani pembedahan mata, sekali gus menjadikan tempoh penahanan lebih mencabar.
Selain itu, katanya, sejak 2015 Najib sentiasa memberikan kerjasama tanpa syarat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia, termasuk hadir ke sesi siasatan tanpa sebarang halangan.
Sikap konsisten itu, tegas beliau, mencerminkan penghormatan terhadap undang-undang walaupun Najib pernah memegang jawatan tertinggi negara.
Dalam hujahnya, Muhammad Shafee turut menegaskan tiada bukti menunjukkan Najib memperoleh sebarang keuntungan peribadi daripada keputusan berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Katanya, dana yang disalahgunakan berlaku tanpa pengetahuan atau penyertaan tertuduh dan sebahagian besar perbelanjaan adalah untuk tujuan politik, sosial serta kebajikan di bawah kerangka Barisan Nasional.
Beliau turut merujuk tindakan Najib memulangkan hampir keseluruhan dana sumbangan luar negara berjumlah AS$620 juta sebagai bukti ketiadaan motif keuntungan peribadi dan niat baik tertuduh.
Menurutnya lagi, peranan Najib hanyalah dalam pembentukan dasar, bukan pengurusan harian 1MDB yang dikendalikan oleh lembaga pengarah serta pegawai profesional.
Muhammad Shafee menegaskan hukuman yang bakal dijatuhkan perlu mencerminkan tahap kebersalahan sebenar, memandangkan individu lain yang mempunyai kawalan langsung ke atas transaksi dan dana masih belum berdepan tindakan setara.
Katanya, sepanjang perkhidmatan, Najib sentiasa bertindak atas kepentingan negara melalui pelaburan strategik, pembangunan ekonomi dan kerjasama antara kerajaan, bukannya untuk keuntungan peribadi.










