Shafee: Pendakwaan ‘Terlepas Peluang Emas’ Bawa Pulang Jho Low

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada semalam dimaklumkan bahawa pihak pendakwaan dikatakan “terlepas peluang emas” untuk membawa pulang ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, yang didakwa menjadi dalang utama dalam skandal mega 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam bela utama, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berhujah bahawa kegagalan pihak berkuasa mengesan dan mengemukakan Jho Low di mahkamah telah melemahkan kes terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Pendakwaan seharusnya bertanggungjawab membawa orang buruan ini ke muka pengadilan bagi membuktikan kes mereka. Namun sehingga kini, keberadaan Jho Low masih misteri,” katanya ketika berhujah di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, semalam.

Menurut beliau, disebabkan kegagalan itu, pihak pendakwaan kini terpaksa bergantung kepada keterangan saksi sekunder seperti bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan, yang didakwa hanya menyampaikan maklumat berasaskan “dengar cakap berganda” (double hearsay).

“Sebahagian besar keterangan yang dikemukakan adalah khabar angin semata-mata dan tidak boleh diterima di bawah Akta Keterangan. Contohnya, saksi seperti bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, hanya menyatakan apa yang didakwa diberitahu kepadanya oleh Jho Low, kononnya daripada Najib,” katanya.

Muhammad Shafee menegaskan, pembelaan tidak mempunyai peluang untuk menyoal balas Jho Low, menjadikan banyak dakwaan tidak dapat disahkan secara langsung.

“Ini satu-satunya kes dalam sejarah di mana pertuduhan bergantung kepada dua lapis khabar angin dan kenyataan individu yang tidak pernah muncul di mahkamah,” ujarnya lagi.

Beliau turut menambah bahawa pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Penguasa Kanan Nur Aida Arifin, juga gagal mengemukakan bukti rasmi mengenai usaha mengesan Jho Low seperti rekod imigresen, permohonan bantuan antarabangsa atau dokumen Interpol.

Prosiding kes melibatkan Najib, yang berdepan empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram, bersambung hari ini.

Najib didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon antara Februari 2011 hingga Disember 2014, manakala kes pengubahan wang haram pula antara Mac dan Ogos 2013.

BBerkaitan

Latest articles