KUALA LUMPUR: Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan dan pihak berkaitan dengannya untuk mendedahkan kewujudan titah adendum yang didakwa membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya sebagai tahanan di rumah.
Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menegaskan Najib tidak mempunyai tanggungjawab untuk berbuat demikian tetapi bertindak dengan sewajarnya bagi mendapatkan bukti tersebut.
“Ini tugas kerajaan, terutama bekas peguam negara (Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh ), untuk menampilkan perintah adendum tersebut,” kata Shafee, sambil menambah bahawa adendum itu dihantar oleh istana kepada bekas peguam negara ketika ia dikeluarkan.
“Mereka (kerajaan) mesti memberi jawapan kepada anak guam saya kerana mereka adalah pihak berkuasa awam,” katanya kepada panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Azizah Nawawi.
Katanya, Najib juga menulis surat kepada enam pihak termasuk kerajaan pada tahun lalu, sebelum memfailkan permohonan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman pada April tahun lalu.
Panel itu turut dianggotai Hakim Datuk Azahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Firuz Jaffril.
Shafee turut memberitahu mahkamah bahawa anak lelaki Najib, Datuk Mohd Nizar, memfailkan satu lagi afidavit dua hari lalu.
Dalam afidavit itu, Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman mengesahkan kewujudan perintah adendum tersebut dan keasliannya.
Pada pendengaran pada 5 Dis, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan memohon penangguhan bagi membolehkan kerajaan mengesahkan kesahihan dokumen yang dikemukakan dalam kes itu.
Menurut Shamsul, kerajaan memerlukan masa untuk mengesahkan dokumen yang tidak ditandatangani atau dimeterai itu.
Najib ingin bergantung kepada bukti baharu itu bagi mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman untuk memaksa kerajaan melaksanakan titah diraja yang didakwa dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang kini merupakan Sultan Pahang.