Setuju Agenda Rumah Bangsa, Namun MCA Ingatkan BN Tidak Abai Realiti Masyarakat Majmuk

KUALA LUMPUR: MCA menyokong usaha UMNO menyatukan semula orang Melayu demi memperkukuh parti itu, namun mengingatkan bahawa Barisan Nasional (BN) tetap perlu berpijak pada realiti sebuah negara berbilang kaum.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, agenda penyatuan Melayu yang digagaskan UMNO wajar berjaya kerana kekuatan UMNO akan memberi kesan langsung kepada kestabilan dan masa depan BN secara keseluruhan.

Menurut beliau, konsep “rumah bangsa” bukan sekadar usaha dalaman UMNO, tetapi wadah untuk menarik semula mereka yang pernah meninggalkan parti supaya kembali bersama perjuangan.

“Ini bukan soal siapa pernah keluar. Ini tentang membina semula keyakinan dan menarik mereka yang tersasar untuk pulang dan berjuang semula,” katanya selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Bagaimanapun, Wee menegaskan bahawa dalam kerangka BN, setiap langkah politik mesti mengambil kira realiti masyarakat majmuk.

“Kita boleh bincang soal Melayu dan Islam dalam komuniti masing-masing, MCA juga sedia berbincang. Tapi BN ini gabungan besar, kita tidak boleh menutup mata terhadap kepelbagaian kaum dan keperluan semua rakyat,” tegasnya.

Terdahulu, Zahid mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa untuk menerima semula penyertaan individu atau kumpulan yang pernah meninggalkan UMNO.

Zahid menegaskan politik Melayu-Islam tidak boleh terus berpecah, dan penyatuan mesti dilakukan dengan fikiran terbuka, bukan melalui kemarahan atau dendam lama, tetapi dengan hala tuju jelas dan semangat besar demi masa depan negara.

BBerkaitan

Latest articles