SetPol Amirudin Nafi Pertemuan Sulit Antara MB Selangor, Azmin Dan Hamzah

Tidak ada pertemuan sulit yang diatur di antara Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin seperti yang didakwa semalam.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Borhan Aman Shah menerusi satu kenyataan.

Sebaliknya, Amirudin hanya mengadakan pertemuan bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkaitan usaha menangani penularan wabak COVID-19 di negeri ini.

“Perbincangan mesyuarat itu turut menyentuh kerjasama kerajaan negeri Selangor dan Kementerian Kesihatan dalam penyesuaian kebiasaan baharu pasca Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Mesyuarat itu juga dihadiri exco kesihatan negeri, Dr Siti Mariah Mahmud, kakitangan kementerian dan Jabatan Kesihatan Selangor. Kami menafikan dakwaan terdapat pertemuan sulit berkenaan,” katanya.

Terdahulu, ketiga-tiga nama pemimpin berkenaan dikaitkan mengadakan pertemuan sulit kononnya untuk membincangkan situasi semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) Selangor.

Dakwaan muncul pentadbiran gabungan itu goyah selepas ada di kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PKR yang dikatakan menyokong Mohamed Azmin ketika beliau menjadi Timbalan Presiden PKR bakal beralih sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Pertemuan tersebut hanya dianggap tidak berasas selepas Azmin memuatnaik beberapa gambar menunjukkan beliau berada di Kedah semalam, bagi melakukan kunjungan hormat ke atas menteri besar negeri itu.

BBerkaitan

Latest articles