Setiap Tandas Awam Perlu Bertaraf ‘BMW’

KUALA LUMPUR: Kesemua 155 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara perlu mewujudkan unit pemantauan kebersihan tandas awam, demikian menurut
Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Beliau menegaskan kebersihan tandas awam khususnya yang menjadi destinasi utama pelancongan berkait rapat dengan imej negara.

Justeru itu, setiap tandas awam mesti bertaraf “BMW” iaitu Bersih, Menawan dan Wangi, sekali gus meningkatkan persepsi rakyat terhadap PBT.

“Malam tadi, selepas habis kerja di pejabat, saya telah melakukan lawatan kerja secara mengejut ke tumpuan destinasi pelancong di Dataran Merdeka Kuala Lumpur.

“Saya membuat meninjau dan melihat dengan sendiri kebersihan tandas awam setelah menerima aduan daripada orang ramai.

“Saya dapati tahap kebersihan tandas awam Dataran Merdeka agak memuaskan dan sistem pencahayaan juga berfungsi dengan baik,” katanya menerusi hantaran Facebooknya semalam.

Bagaimanapun, kata Kor Ming, beliau telah melihat dengan sendiri bumbung siling tandas awam lelaki sudah rosak, syampu cuci tangan tidak diganti dan ada juga paip air tidak berfungsi.

Kor Ming menambah, kebersihan tandas awam adalah berkait rapat dengan imej negara khususnya di destinasi utama pelancongan atau pintu masuk ke negara ini.

Katanya, PBT di seluruh negara perlu melaksanakan kerja penyelenggaraan mengikut jadual supaya memastikan tandas awam di negara ini sentiasa berada dalam keadaan yang bersih, berfungsi baik dan teratur.

“Dalam lawatan saya malam tadi juga, saya dapati beberapa masalah yang wajar diperbaiki di sekitar Dataran Merdeka iaitu padang rumput yang botak dan kurang sempurna.

“Tempat ruang niaga bawah tanah juga sudah usang dan suiz box elektrik yang tidak ditutup dengan baik serta membahayakan keselamatan orang ramai.

Dalam lawatan mengejutnya, Kor Ming turut meninjau tempat ruang niaga bawah tanah yang berada dalam keadaan usang dan dan tidak terurus.

“Saya akan bertemu dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah dan KPKT untuk mencari jalan penyelesaian terbaik agar infrastrukturnya dapat dijaga dan diselenggara dengan baik dan berada dalam keadaan memuaskan,” katanya.

Menurut beliau, budaya penyelengaraan wajar dititikberatkan dan dipandang berat oleh semua agensi kerajaan.

Katanya, demi kesejahteraan rakyat, beliau berharap semua pihak dapat bekerjasama menjaga kebersihan tempat awam serta menyokong usaha KPKT membantu negara ini makmur, mampan dan saksama.

BBerkaitan

Latest articles