BERSATU melihat tempoh setahun selepas pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah berjaya memperlihatkan semangat kerjasama di antara parti-parti yang terlibat.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata adalah penting untuk semua pihak di dalam PN terus menyumbang kepada kestabilan politik kerana ianya memberikan manfaat kepada rakyat.
“Kita semua sedang meraikan setahun Perikatan Nasional, fokus kita sepatutnya ke arah itu. Kita nak bincang semua, ucap terima kasih pada semua itu sepatutnya perkara penting.
“Sebab yang penting adalah kestabilan kerajaan ini. Bila bercakap tentang kestabilan politik, selepas setahun kita sedar semua pihak saling bekerjasama.
“(Kita) hendak menentukan supaya segala apa yang kita lakukan itu sesuatu yang baik untuk rakyat,” katanya ketika ditemui media selepas usai mesyuarat Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU di Putrajaya, petang tadi.
Dalam pada itu, BERSATU akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi berkenaan hubungan bersama UMNO, selepas mengadakan mesyuarat hari ini.
Ia berikutan keputusan Majlis Tertinggi UMNO baru-baru ini untuk tidak mahu bekerjasama dengannya pada PRU15.