Sesiapa Sahaja Boleh Masuk BN, Termasuk PBM

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) bersedia menerima mana-mana parti yang yakin dengan prinsip gabungan itu, termasuk Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun berkata, sehingga kini pihaknya belum menerima permohonan rasmi parti itu untuk menyertai gabungan tersebut.

“Di dalam perlembagaan BN terdapat tiga kategori iaitu parti teras, parti gabungan (Friends of BN) dan direct membership maka ketiga-tiga teras ini memperlihatkan keterbukaan BN untuk menerima mereka-mereka yang yakin dengan prinsip BN untuk bersama-sama dengan BN.

“Setelah melontarkan perkara ini di dalam Konvensyen BN pada 1 Jun lalu ini memberi gambaran bahawa kesediaan kita untuk menerima bukan hanya PBM tapi parti-parti lain sebesar dan sekecil mana pun sebagai salah satu tiga teras tadi,” katanya selepas merasmikan Wacana Aspirasi UMNO di Menara Dato’ Onn hari ini.

Bagaimanapun Ahmad Zahid akan membincangkan permohonan mana-mana parti dengan kepimpinan tertinggi BN sebelum membuat keputusan.

“Kita belum membuat keputusan tetapi tentunya perkara-perkara ini telah sampai kepada saya dan saya tidak akan membuat keputusan seorang diri saya akan bincangkan dengan rakan-rakan di dalam kepimpinan tertinggi BN untuk meneliti tentang jika secara rasmi mana-mana pihak memohon menyertai BN,” ujarnya.

Baru-baru ini, PBM memutuskan parti itu akan bekerjasama dengan BN dan surat rasmi akan dihantar kepada parti tersebut dalam masa terdekat.

Presiden parti itu, Larry Sng berkata Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin akan mengetuai PBM akan berperanan berbincang dengan parti lain bagi membentuk kerjasama sebagai sebuah gabungan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

BBerkaitan

Latest articles