BANGI: Keterujaan jelas terlihat di wajah pengundi golongan belia terutamanya yang pertama kali mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hari ini.
Pelajar, Nur Aina Najat Mohd Amran, 21, berbangga kerana dapat menunaikan tanggungjawab pada PRU15 tahun ini.
Menurutnya, ini adalah pengalaman yang baharu untuk dirinya dan golongan muda lain selain berharap agar lebih ramai mereka ini dapat keluar mengundi.
“Saya rasa sangat teruja dan bertanggungjawab kepada negara dengan memilih pemimpin yang sesuai untuk negara dan ini pengalaman yang baru untuk anak-anak muda.
“Saya harap lagi ramai anak muda yang keluar mengundi dan tadi pun memang ramai yang keluar mengundi. Saya sangat gembira bila lihat anak muda keluar untuk mengundi itu satu petanda yang baik,” katanya.
Tambah Nur Aina, dengan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, dia berharap agar kerajaan baharu yang bakal dibentuk dapat memperkasakan anak muda terutama dari segi pendidikan.
“Saya harap kerajaan yang akan datang bantu rakyat dari segi semua peringkat terutama anak muda terutama dari segi pendidikan.
Sementara itu, Zahratul Nadiah Azharuddin, 21, akui sangat teruja apabila tiba seawal jam 8:30 pagi untuk mengundi bersama ibu dan bapanya.
Katanya, dia mengharapkan anak muda yang keluar mengundi dapat memilih pemimpin yang boleh menjalankan tanggungjawab kepada rakyat dan negara.
“Pertama sekali saya rasa sangat seronok sebab pertama kali saya mengundi. Memang bangun awal pagi sebab teruja nak mengundi.
“Sangat seronok dapat mengundi memandangkan umur saya memang sudah layak mengundi.
“Saya berharap sebagai anak muda kita kena keluar mengundi supaya kita memilih pemimpin yang betul-betul boleh menjalankan tanggungjawab dan boleh menjaga rakyat serta keharmonian negara kita.
Dalam pada itu, tinjauan The Rakyat Insight di Pusat Pembuangan Undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Empat, di sini, mendapati proses pengundian berjalan lancar dengan bantuan petugas SPR.
Turut kelihatan warga emas yang hadir untuk mengundi dibantu oleh petugas SPR bermula dari proses ke saluran mengundi, mendaftar nama dan seterusnya memasukkan kertas undi ke dalam kotak undi.