KUALA LUMPUR: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman mengesahkan tangkapan enam anggota polis dari sebuah IPD di Perak dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Sitiawan, malam Sabtu lalu.
Dalam serbuan bersama Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) itu, anggota terbabit disyaki sedang berhibur dengan seorang wanita warga Indonesia yang turut ditemukan dalam bilik karaoke pusat hiburan berkenaan, kira-kira 11.30 malam.
Memetik sumber Berita Harian juga berkata, satu paket serbuk putih dipercayai dadah jenis ketamin turut ditemukan.
Katanya, seorang anggota beragama Islam dikesan mengambil minuman keras, manakala seorang lagi positif dadah jenis ganja.
Sementara itu, Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad turut mengesahkan tangkapan tersebut dengan operasi dijalankan bersama JAIP bagi mengesan pelanggaran dan salah laku dilakukan oleh anggota.
“Siasatan kes akan dikendalikan JIPS di IPK Perak dan pada masa ini siasatan membabitkan sudut tatatertib.
“Terdapat situasi dan keadaan yang membenarkan anggota berada di dalam premis berkenaan berdasarkan arahan dalaman, namun siasatan akan dibuat apabila ada anggota terbabit dikesan positif dadah dan minum minuman keras,” katanya.