Seri Paduka Perincikan Krisis Politik Tercetus Kerana Dr Mahathir Yang Letak Jawatan PM

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini dengan jelas memperincikan apa yang berlaku dalam krisis politik di negara ini pada Februari lepas apabila secara tiba-tiba bekas Perdana Menteri ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatannya secara tiba-tiba pada 24 Februari 2020 yang lalu.

Baginda bertitah bahawa baginda telah berkenaan menerima menghadap Dr Mahathir pada pukul 5 petang hari yang sama untuk meminta beliau tidak meletakkan jawatan tapi Dr Mahathir tetap dengan keputusannnya.

“Oleh yang demikian, beta bertanggungjawab untuk melantik seorang Perdana Menteri yang baharu seperti mana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara 43 memberi kuasa budi-bicara kepada beta untuk melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat beta mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli dewan rakyat,” menurut titah baginda.

BACA JUGA – Perikatan Nasional Kini Punyai 118 Kerusi Di Dalam Parlimen

Kemudian Yang di-Pertuan Agong menjelaskan pula apa langkah yang diambil baginda dalam menyelesaikan konflik politik itu iaitu pada 25 dan 26 Februari baginda telah bertemu secara berseorangan dengan semua Ahli Dewan Rakyat untuk menilai sendiri sokongan kepercayaan mereka.

“Pada 29 Februari 2020, beta telah menitahkan semua parti-parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat untuk mencalonkan nama seorang ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri.

“Atas permintaan beberapa ketua parti politik, beta telah berkenan pula untuk melanjutkan tempoh masa bagi parti-parti politik mengemukakan pencalonan mereka agar masa yang cukup diberikan dalam mereka membuat perhitungan secara demokrasi,” titah baginda.

Baginda bertitah bahawa setiap pertandingan pasti akan ada penamatnya dan kemelut politik negara tidak boleh dibiarkan berlarutan dan berpanjangan dengan tanp ada penghujungnya.

“Lantaran itu, setelah melalui semua proses tersebut, dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, beta telah mendapati yang amat berhormat Tan Sri Muhyiddin bin Haji Yassin telah mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat dan dengan demikian selayaknya dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8,” menurut baginda.

Seri Paduka bertitah bahawa baginda telah menggalas amanah dengan telus dan adil selaras dengan konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang menjadi tunjang negara Malaysia.

Titah baginda jelas bahawa kemelut politik bermula pada Februari ialah disebabkan Dr Mahathir meletakkan jawatan dan tidak ada apa-apa unsur pintu belakang atau cubaan menjatuhkan kerajaan malahan baginda sendiri memujuk Dr Mahathir untuk tidak letak jawatan tetapi beliau enggan.

Sebelum Seri Paduka mengakhiri titahnya, baginda berpesan supaya jangan mengheret negara sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu ketika rakyat jelata masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat pandemik Covid-19 ketika ini.

“Sesungguhnya, perpaduan dan keharmonian bermula di dalam dewan yang mulia ini. Beta yakin, rakyat akan terus erat bersatu padu dan sepakat dalam membangunkan negara jika rakyat tidak disogok dengan api permusuhan dan perpecahan.

“Justeru, berbahaslah dengan penuh tanggung-jawab dan sentiasalah menunjukkan kematangan politik yang positif untuk dicontohi oleh rakyat jelata,” titah Seri Paduka.

Dengan Titah Diraja sempena pembukaan penggal ketiga Parlimen ke-14 pagi tadi, Seri Paduka sudah menjelaskan bagaimana Muhyiddin sudah disahkan mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk layak dilantik sebagai Perdana Menteri.

Oleh itu, agenda Pakatan Harapan (PH) untuk mengemukakan usul undi tidak percaya di Parlimen terhadap Muhyiddin hanya sia-sia sahaja kerana PH tidak mempunyai bilangan majoriti berkenaan. – TRI

BBerkaitan

Latest articles