KOTA BHARU: Polis Kelantan menegaskan bahawa serbuan terhadap satu perjumpaan tertutup komuniti gay di sebuah banglo di Kemumin, Kota Bharu baru-baru ini dilakukan atas dasar maklumat risikan yang sah, bukan bersifat diskriminasi terhadap mana-mana golongan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, tindakan itu diambil bagi memelihara ketenteraman awam serta menjaga nilai moral masyarakat setempat.
“Tiada maklumat menunjukkan program itu dianjurkan atau dipantau oleh NGO, Klinik Kesihatan mahupun Kementerian Kesihatan. Ia juga tidak memiliki kelulusan rasmi dari mana-mana pihak berautoriti,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut Mohd Yusoff, operasi pemantauan oleh Pasukan Task Force PDRM Kelantan bermula sejak jam 5 petang dan mendapati sekitar jam 8 malam, lebih 100 individu berkumpul di lokasi bagi menghadiri sesi makan dan berbual santai.
Namun, kebanyakan mereka bersurai menjelang jam 11 malam.
Serbuan hanya dilakukan pada jam 1 pagi demi memastikan keselamatan operasi.
Ketika itu, hanya tinggal 20 lelaki di premis berkenaan, yang kesemuanya mengaku sebagai sebahagian daripada komuniti gay.
Penjelasan pihak polis hadir selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam mengesahkan bahawa program tersebut sebenarnya berkaitan kesedaran HIV dan dijalankan oleh NGO sah4 Persatuan Pengantara Pesakit Kelantan (Sahabat), di bawah Yayasan AIDS Malaysia.
Namun, kata Mohd Yusoff, semasa serbuan dilakukan, tiada seorang pun wakil daripada mana-mana NGO atau agensi kesihatan kerajaan hadir di lokasi terbabit.
“Kami tidak menjumpai sebarang dokumentasi rasmi berkaitan pengesahan program kesihatan atau kehadiran pegawai kesihatan pada malam itu,” ujarnya.
Hasil siasatan lanjut ke atas telefon bimbit mendapati tiga individu menyimpan bahan lucah berkaitan hubungan sesama jenis.
Ketiga-tiganya telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu pada 20 Julai lalu dan mengaku bersalah.
Mereka masing-masing didenda antara RM3,000 hingga RM4,000 di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
Selain itu, polis turut menemui beratus kondom dan beberapa kotak ubat berkaitan HIV di dalam bilik premis tersebut.
Mohd Yusoff menegaskan bahawa serbuan dilakukan dengan penuh tanggungjawab dan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) demi keharmonian negeri.
Beliau turut menyeru agar masyarakat tidak menyebarkan maklumat tidak sahih dan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa.
“Penjelasan ini diharap dapat menjernihkan kekeliruan serta menghentikan sebarang spekulasi yang berlegar di media sosial,” tegasnya.