KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa serbuan oleh tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke rumah seorang ahli perniagaan China, Kun Gao, mempunyai asas yang kukuh berkaitan kegiatan penggubahan wang haram.
Bagaimanapun, peguam Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, siasatan itu terhalang selepas salah seorang pegawai SPRM yang mengetuai operasi tersebut ditahan keesokan harinya atas dakwaan merompak.
Dzulkifli mendakwa bahawa Gao, yang juga saksi pertama (SP1), telah membuat laporan polis mendakwa dirinya dirompak dengan tujuan menghalang siasatan lanjut berhubung aktiviti penggubahan wang haram yang dilakukannya.
“Jadi, saya katakan kepada kamu bahawa berdasarkan keseluruhan situasi, apabila tiga OKT (Orang Kena Tuduh) yang juga pegawai SPRM membuat serbuan dan penggeledahan pada 10 Disember 2021, siasatan yang dilakukan itu mempunyai asas yang kukuh, syak wasangka yang mencukupi, atau sebab yang munasabah bahawa anda terlibat dalam kegiatan penggubahan wang haram,” soal Dzulkifli di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.
“Akibat daripada laporan polis tersebut, siasatan yang telah dijalankan oleh SPRM gagal untuk dilengkapkan sebagaimana yang diperlukan.”
Dzulkifli turut menyatakan bahawa Gao sememangnya sedar bahawa serbuan oleh ketiga-tiga pegawai SPRM itu bertujuan untuk menyiasat berkaitan pencegahan penggubahan wang haram.
- Baca -Saksi Beri Keterangan Tidak Konsisten Mengenai Harga Jualan Jam Tangan Mewah
- Ahli Perniagaan Warga China Mengaku Beli Aset Bernilai Lebih RM20 Juta Di Malaysia Secara Tunai
Menerusi pemeriksaan balas terdahulu, Gao didapati memiliki hartanah bernilai lebih RM26 juta, selain kereta mewah, termasuk Mercedes Maybach, Toyota Vellfire, dan BMW X5.
Selain itu, dia juga memiliki jam tangan mewah jenama Patek Philippe yang dianggarkan bernilai RM1.6 juta, barangan kemas, serta wang tunai hampir RM1 juta yang ditemui di rumahnya semasa serbuan dijalankan.
Kesemua aset tersebut dibeli secara tunai oleh Gao.
Dalam pada itu, menerusi pemeriksaan balas awal pagi tadi, Gao mengubah keterangannya berkenaan pembelian hartanah daripada pembelian secara tunai kepada transaksi atas talian, yang bercanggah dengan keterangan terdahulu semasa pemeriksaan balas peringkat pertama.
Sementara itu, Gao juga didakwa melanggar syarat pemegang visa Malaysia My Second Home (MM2H) apabila dia mengakui memiliki perniagaan di Malaysia.
Menurut pekeliling Jabatan Imigresen, antara syarat pemegang visa MM2H adalah mereka tidak dibenarkan bekerja atau memiliki perniagaan di Malaysia.
Dalam keterangannya, Gao memaklumkan bahawa dia memiliki sebuah syarikat pelancongan, Arista Tour & Travel.
Pendedahan tersebut dibuat apabila dia disoal mengenai sumber kekayaan yang dimilikinya.
Perbicaraan bersambung pada sesi petang.