More

    “Serban Lilit Tebal Tapi Cakap Tak Betul” – Tok Mat Bidas PAS

    KUALA LUMPUR: Imej yang baik dengan membawa dasar perjuangan berteraskan Islam tidak menjadikan individu atau parti politik itu mampu menjadi jujur dalam sesuatu kerjasama.

    Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan secara sinis mengkritik kepimpinan PAS yang disifatkan sebagai sebuah parti lidah bercabang dalam isu melibatkan Muafakat Nasional (MN).

    “Di mana tuduhan kita khianat Muafakat Nasional, mesyuarat dalam MN di mana saya pengerusi bersama dengan Timbalan Presiden dia (PAS) sebab UMNO sudah buat keputusan untuk tidak menyertai PN (Perikatan Nasional).

    “Apakah PAS punya pendirian, PAS kata tidak akan menyertai PN, dua kali saya tanya tapi dua minggu selepas itu mereka sertai PN, siap jadi penaja utama lagi.

    “Serban lilit tebal tapi cakap tak betul, lebih baik saya tidak berjambang dan tidak berserban dan hati pun bersih.

    “Jangan cakap lain tapi di hati lain, lidah bercabang-cabang. Di mana tuduhan kita khianat MN (Muafakat Nasional),” katanya merasmikan Konvensyen Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

    UMNO bekerjasama dengan PAS menubuhkan MN pada 2019, dengan kerjasama politik itu disambut baik kedua-dua belah pihak pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

    Namun hubungan kedua-dua parti dilihat mula dingin selepas PAS memilih bekerjasama dengan Bersatu menerusi Perikatan Nasional (PN), dimana UMNO memilih untuk menyertainya.

    Dalam ucapannya Mohamad menegaskan, jika PAS mahu bersama-sama UMNO dan BN semula, parti tersebut harus meninggalkan Bersatu.

    Untuk rekod ini bukan kali pertama ‘kata dua’ itu diberikan oleh pimpinan UMNO terhadap PAS.

    “Siapa yang tempang sekarang baru tergesel-gesel nak balik semula, kalau nak balik (bersama UMNO-BN) tinggalkan teman wanita, dan balik ke rumah si tua (UMNO),” sindirnyam

    Sementara itu Mohamad memaklumkan terdapat tiga buah parti lain yang ingin menyertai BN dalam masa terdekat dan perkara itu akan diputuskan di dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam esok.

    “Ramai nak masuk BN. Malam esok ada Mesyuarat Dewan Tertinggi BN. Ada dua tiga parti nak masuk BN, tapi nak kotorkan kain buat apa?

    “Kita hadapi PRU15 ini, BN bergerak sendiri dalam PRU15,” katanya lagi.

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini