KUALA LUMPUR: Malaysia berdiri teguh bersama Australia bagi menyokong sepenuhnya usaha bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan ganas di Sydney, semalam, dibawa ke muka pengadilan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengecam sekeras-kerasnya serangan itu berkata, tiada sebarang justifikasi boleh membenarkan keganasan yang menyasarkan orang awam, apatah lagi apabila dilakukan berdasarkan perbezaan kaum atau agama.
“Malaysia berdiri teguh bersama rakyat dan kerajaan Australia dalam menghadapi saat sukar ini, serta menyokong sepenuhnya segala usaha bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab dikenal pasti dan dibawa ke muka pengadilan mengikut lunas undang-undang.
“Tindakan sedemikian sama sekali tidak berlandaskan mana-mana kepercayaan atau pegangan agama,” katanya melalui kenyataan di media sosial.
Hingga malam tadi, sekurang-kurangnya 12 orang dilaporkan maut, termasuk seorang penyerang selepas insiden tembakan di Pantai Bondi, Sydney, semalam.
Perdana Menteri New South Wales (NSW), Chris Minns, dilaporkan berkata sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dalam kejadian tembakan pada acara Hanukah Yahudi di Pantai Bondi, termasuk seorang yang dipercayai sebagai penembak.
Polis turut mengesahkan seramai 29 orang dikejarkan ke hospital, termasuk dua anggota polis yang berada dalam keadaan serius dan kritikal.
Pada masa sama, Perdana Menteri turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap supaya semua yang cedera diberikan kesembuhan sepenuhnya.
“Saya amat terkejut dan berdukacita dengan serangan ganas di Sydney yang meragut nyawa orang awam tidak berdosa serta mencederakan ramai pihak lain. Saya mengecam sekeras-kerasnya perbuatan ini.
“Saya merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga mangsa dan mendoakan supaya semua yang cedera diberikan kesembuhan,” katanya.










