Serang Zamri Vinoth: Empat Lelaki Direman, Peguam Pertikai Dakwaan Ugutan

BUKIT MERTAJAM: Empat lelaki direman selama dua hari oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa bagi membantu siasatan berhubung insiden serangan terhadap pendakwah bebas, Zamri Vinoth.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Roshayati Radellah selepas polis memohon tempoh tahanan selama empat hari untuk melengkapkan siasatan kes berkenaan.

Kesemua suspek yang berusia antara lingkungan 20 hingga 30 tahun itu terdiri daripada dua jurutera, seorang juruteknik dan seorang pemandu van.

Mereka kini disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat serta Seksyen 506 kanun sama berkaitan ugutan jenayah.

Difahamkan, keempat-empat lelaki terbabit hadir menyerah diri di balai polis kira-kira jam 1 pagi sebelum ditahan untuk tindakan lanjut.

Mereka kemudian dibawa ke mahkamah sekitar jam 8.35 pagi dengan berpakaian lokap dan diiringi anggota polis bagi proses permohonan reman.

Sementara itu, peguam bela yang mengetuai pasukan pembelaan, V. Parthiban memaklumkan pihaknya telah menayangkan semula rakaman video kejadian yang tular kepada majistret sebagai sebahagian hujahan pihak pembelaan.

Menurutnya, rakaman tersebut didakwa tidak menunjukkan sebarang individu memegang objek berbahaya seperti batu atau kayu sebagaimana yang didakwa oleh pengadu.

“Pengadu menyatakan penyerangnya memegang batu dan kayu, namun dalam rakaman video jelas tiada sesiapa memegang apa-apa objek,” katanya.

Tambah beliau, video sama turut memperlihatkan individu yang didakwa terlibat berkumpul di bahagian pemandu kenderaan, sedangkan kerosakan yang didakwa oleh pengadu dikatakan berlaku di bahagian kiri kereta.

Susulan itu, pihak pembelaan berhujah bahawa elemen ugutan jenayah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan tidak wajar digunakan dalam kes berkenaan.

Sebelum ini, dua beradik turut direman secara berasingan bagi membantu siasatan kes sama, namun kedua-duanya telah dibebaskan selepas siasatan awal selesai.

BBerkaitan

Latest articles