Serang Bekas Isteri di KLIA: Bekas Pengurus Pelancongan Dipenjara 7 Tahun

SEPANG: Seorang bekas pengurus agensi pelancongan menerima padah selepas Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun terhadapnya atas kesalahan cubaan membunuh bekas isterinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dua tahun lalu.

Tertuduh, Hafizul Hawari, 39, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan iaitu cuba membunuh bekas isterinya serta mencederakan pengawal peribadi wanita itu menggunakan pistol.

Hakim Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi pertuduhan pertama dan tujuh tahun bagi pertuduhan kedua, namun kedua-duanya berjalan serentak.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman itu hanya bermula selepas Hafizul selesai menjalani hukuman lain di Kelantan, di mana dia sebelum ini dijatuhi penjara 14 tahun enam bulan dan enam sebatan atas tujuh kes termasuk pemilikan senjata api.

Kes berprofil tinggi itu berlaku pada 14 April 2024 di balai ketibaan KLIA, apabila tertuduh didakwa cuba membunuh bekas isterinya, Farah Md. Isa, selain menyebabkan kecederaan parah kepada pengawal peribadi mangsa.

Dalam penghakiman bertulis, mahkamah berpuas hati pengakuan bersalah dibuat secara sukarela tanpa paksaan.

Pihak pembelaan sebelum ini memaklumkan tertuduh mengalami tekanan mental seperti kemurungan dan keresahan, namun hujah tersebut tidak menghalang mahkamah daripada menjatuhkan hukuman setimpal.

BBerkaitan

Latest articles