Seramai 90 orang anggota Pasukan Pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di selatan Lubnan disahkan telah dijangkiti COVID-19.
Memetik laporan AFP, jurucakap Pasukan Interim PBB (UNIFIL) Andrea Tenenti dalam satu kenyataan memaklumlan jangkitan ini adalah kali pertama wabak maut itu dilaporkan wujud di sana.
“Kes berkenaan dipindahkan ke tempat khas UNIFIL yang dilengkapi kemudahan menangani COVID-19, dengan 88 orang yang dijangkiti adalah daripada kontinjen yang sama.
BACA JUGA – Calon KM Sabah Perlu Dibincang Secara Bersama
“Kami giat melakukan pengesanan kontak dan ujian serta pengasingan secara menyeluruh bagi mencegah wabak yang lebih besar,” katanya tanpa menyatakan warganegara mana asalnya kesemua anggota berkenaan.
Sebanyak 45 negara menghantar pasukan pengaman ke UNIFIL, ditubuhkan pada 1978 bagi mengawal sempadan antara Lubnan dan Israel, yang secara teknikalnya berada dalam perang.
Pada Ogos lalu, PBB melanjutkan mandat misi keamanan selama setahun, namun mengurangkan jumlah anggota tentera daripada 15,000 kepada 13,000 orang.
Tenenti berkata, operasi UNIFIL di sepanjang sempadan Lubnan-Israel tidak terjejas akibat wabak baharu itu.
Lubnan menyaksikan peningkatan kes COVID-19 sejak letupan yang memusnahkan pelabuhan Beirut pada 4 Ogos lalu membunuh lebih 190 orang dan membawa kerosakan kepada ibu kota negara itu.
Negara kecil Mediterranean itu mencatatkan 23,669 kes COVID-19, termasuk 239 kematian sejak wabak itu mula dikesan pada Februari lalu.
Sabtu lalu, pihak berkuasa mengumumkan kes COVID-19 di penjara Roumieh, iaitu pusat tahanan terbesar di negara itu, yang terkenal dengan keadaannya yang teruk termasuk kesesakan dan layanan buruk.