Sepertimana Sokongan Terhadap Ukraine, Hak Asasi Rakyat Palestin Juga Berhak Dihormati

JAKARTA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata hak asasi rakyat Palestin perlu dihormati dan menyeru semua negara supaya mengambil pendirian yang sama ketika membantah serangan Rusia ke atas Ukraine.

Perkara itu disampaikan Perdana Menteri semasa mesyuarat dengan pemimpin ASEAN dan negara rakan dialog termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun, Korea Selatan, Kanada serta Australia pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 dan sidang lain yang berkaitan.

“… mereka menyuarakan untuk membantah serangan Rusia ke atas Ukraine tetapi suara yang sama nampak seolah-olah kelu, membisu dan tidak mengesankan bila menyentuh atau menyinggung soal Palestin.

“Jadi kita suarakan dengan tegas, hormat hak rakyat Palestin, hormat nilai kemanusiaan, hormat hak asasi,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis penutup sidang kemuncak itu.
Anwar turut meminta Kementerian Luar untuk memberi sokongan kepada Arab Saudi yang akan bersidang di New York sempena persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu setelah dimaklumkan oleh Setiausaha Agung badan antarabangsa itu Antonio Guterres.

Beliau berkata persidangan itu bertujuan menekankan keperluan negara-negara Islam dan Eropah mengambil keputusan yang bijak dalam menangani masalah Palestin.

Perdana Menteri juga berkata Turkiye mencadangkan agar Malaysia dan republik itu mengadakan pertemuan di New York bagi menangani isu perkauman dan Islamofobia.
“Presiden (Recep) Tayyip Erdogan meminta saya bersama-sama membantu menganjurkan satu pertemuan dalam waktu yang lebih kurang sama di New York untuk menentang sikap pelampau perkauman dan sentimen antiagama atau Islamofobia.

“… Presiden Erdogan sudah setuju dengan saya untuk menganjur pertemuan ini dan kalau boleh, kita perluaskan kepada negara-negara Islam dan negara lain yang bersama (dengan kita),” katanya.

Anwar dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berlepas pulang ke tanah air pada 9.16 malam ini selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Jakarta sejak Selasa. — BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles