More

    Sepertimana Jijik Kepada Babi, Begitulah Juga Umat Islam Kena Benci Rasuah – KP SPRM

    Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki hari ini mengingatkan orang ramai, terutama penjawat awam agar membenci amalan rasuah sepertimana umat Islam menyatakan rasa jijiknya kepada daging babi dan anjing.

    “Kita perlu meningkatkan integriti yang baik dalam kehidupan seharian dan dalam menjalankan tugas sebagai penjawat awam.

    “Tolaklah rasuah dan bencilah rasuah sebagaimana orang Islam mengatakan benci dan jijik kepada daging babi dan anjing.

    “Begitu juga kalau kita bercakap pasal rasuah ini, kita benci kepada rasuah sebagaimana kita benci anjing dan babi,” katanya dalam satu segmen bual bicara di MelakaFM, hari ini.

    Malah menjelaskan peranan SPRM yang dilihat mencabar pada hari ini, Azam memberi penekanan terhadap dua perkara yang disifatkan sebagai kritikal untuk badan penguatkuasaan itu.

    Azam menyebut bahawa SPRM harus bebas dengan menyentuh keperluan ‘political will’, selain tidak perlu ada campur tangan dari mana-mana pihak ketika badan penguatkuasaan itu menjalankan tugasnya.

    Beliau turut mengakui bahawa SPRM kini disokong oleh kerajaan yang memerintah.

    “Kalau tanya saya, di mana SPRM dalam keadaan sekarang ini, memang kami disokong oleh kerajaan pemerintah untuk kita melaksanakan pencegahan rasuah secara berkesan.

    “Bahkan, baru-baru ini kerajaan telah bersetuju dalam Mesyuarat Kawatankuasa Khas Mengenai Rasuah Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) untuk memperkasakan lagi SPRM.

    “Mesyuarat itu membincangkan mengenai pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu dibuat melalui perlembagaan undang-undang, iaitu pelantikan akan datang kalau dipersetujui, memerlukan majoriti dua pertiga dari Ahli Parlimen,” katanya lanjut.

    Menyentuh mengenai pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam berkata ia perlu dilakukan mengikut Perlembagaan dan satu tribunal khas perlu diwujudkan untuk menamatkan perkhidmatan seseorang ketua pesuruhjaya.

    Malah mesyuarat yang sama turut bersetuju untuk mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM yang mana sekarang ini mereka di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

    “Sebelum ini, pengambilan pegawai dan kakitangan (SPRM) melalui SPA. Jadi, dengan memberi kebebasan kepada kami untuk melantik pegawai atau kakitangan melalui suruhanjaya sendiri adalah baik dan ini akan menunjukkan ketelusan kerajaan serta kebebasan SPRM dalam melakukan tindakannya,” katanya.

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini