KUALA LUMPUR: Kehilangan Suri Narudin, 53, hanya disedari beberapa hari selepas beliau gagal tiba di Zurich, Switzerland seperti dijadualkan, apabila rakan-rakannya yang menunggu di sana akhirnya menghubungi keluarga mangsa di Sarawak.
Menurut rakan rapat Suri, Mac Ruhayu Mohd Nor, perjalanan wanita itu sepatutnya bermula dari Kuala Lumpur ke Doha sebelum meneruskan penerbangan ke Switzerland.
Namun, apabila Suri tidak muncul walaupun selepas berjam-jam menunggu, kebimbangan mula tercetus.
Mac Ruhayu berkata, lawatan ke Switzerland merupakan rutin tahunan Suri untuk bertemu rakan lama, malah tiket penerbangan serta penginapan telah diatur lebih awal.
Kehilangan itu hanya benar-benar disedari apabila beberapa hari berlalu tanpa sebarang khabar, sesuatu yang dianggap luar biasa memandangkan Suri mudah dihubungi dan sering memaklumkan pergerakannya.
“Rakan-rakan di Zurich menunggu hampir lapan jam. Bila dia tak sampai juga, barulah keluarga di Sarawak dihubungi,” katanya.
Beliau menjelaskan, pencarian awal berdepan kekangan kerana tiada petunjuk jelas, menyebabkan laporan kehilangan pada peringkat awal tidak menunjukkan unsur jenayah.
Namun, selepas desakan berterusan termasuk penyebaran maklumat awam di media sosial, siasatan digerakkan lebih meluas oleh Polis Diraja Malaysia.
“Kami berterima kasih atas tindakan pantas pihak polis selepas maklumat awam dikongsi,” katanya.
Suri dilaporkan tinggal di Apartmen Seri Nilam, Ampang dan kerap berulang-alik dari Sarawak ke Kuala Lumpur, selain menetap bersama anak saudara perempuannya ketika berada di ibu kota.
Seorang lelaki yang membantu urusan harian keluarga turut dikenal pasti dalam siasatan, namun perkembangan lanjut diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
Mengulas penemuan mayat wanita di sebuah rumah kosong di Kampung Batu 4, Pedas, Mac Ruhayu berkata identiti mangsa masih belum dapat dipastikan sepenuhnya.
Anak saudara Suri telah ke Hospital Rembau untuk proses pengecaman, manakala pengesahan muktamad memerlukan ujian DNA.
“Kami hanya mahu kebenaran dan penjelasan,” katanya, sambil menambah sekiranya identiti disahkan, jenazah akan dibawa pulang ke Kuching, Sarawak dengan kerjasama Rumah Sarawak.
Terdahulu, media melaporkan polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang wanita yang dilaporkan hilang sejak 8 Disember lalu.










