Sepatutnya BN Tak Perlu Sertai Blok Kerajaan, Perlu Kekal Pembangkang Bersama Warisan, PN

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Salleh menegaskan Barisan Nasional (BN) tidak wajar menyertai kerajaan negeri Sabah dan perlu terus memainkan peranan sebagai pembangkang bersama Warisan serta Perikatan Nasional (PN).

Katanya, keputusan itu selari dengan mandat pengundi yang mahu BN menjadi semak dan imbang kepada kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“BN kekal di kerusi pembangkang. Jadi pembangkang yang kuat, bawa isu rakyat dan imbang tindakan kerajaan negeri,” katanya melalui kenyataan di Facebook.

Menurut beliau, keputusan rakyat pada PRN-17 Sabah memberi isyarat jelas bahawa mereka mahu melihat BN melakukan pembaharuan secara menyeluruh.

Akmal menegaskan, kekalahan parti itu perlu diterima dengan bermaruah sambil memperbaiki kelemahan dalaman bagi mengembalikan keyakinan rakyat.

“Bila kita berubah, rakyat akan kembali percaya. Kalau boleh berlaku di Sabah, ia juga boleh berlaku di peringkat pusat,” katanya.

Kenyataan Akmal hadir susulan gesaan Pemuda GRS yang menolak sebarang usaha membawa BN menyertai Kerajaan GRS Plus, yang kini mempunyai majoriti kukuh melibatkan GRS (29 kerusi), Bebas (5), UPKO (3), STAR (2), serta masing-masing satu kerusi PH dan KDM.

Sebelum ini, BN melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Zambry Abd Kadir menyatakan kesediaan bekerjasama dengan kerajaan baharu bagi memastikan Sabah kekal stabil dan terus membangun.

Namun, Akmal menegaskan pendirian akar umbi iaitu BN perlu menunaikan peranan pembangkang yang diamanahkan rakyat.

BBerkaitan

Latest articles