Seorang MP Bersatu ‘U-Turn’, Akui Mengaku Silap Tandatangan Surat Kepada Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Ketegangan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus mencuri tumpuan apabila Ahli Parlimen Merbok, Nazri Abu Hassan, tampil menarik balik sokongannya terhadap surat bantahan pemecatan Wan Saiful Wan Jan dan penggantungan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Nazri mengakui beliau menandatangani surat itu tanpa mengetahui bahawa kedua-dua pemimpin berkenaan sudah pun mengemukakan rayuan rasmi terhadap tindakan tatatertib yang diambil terhadap mereka.

“Saya menghormati hak mereka untuk membuat rayuan, dan saya percaya Lembaga Disiplin serta Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) akan meneliti perkara ini dengan adil,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, tandatangan beliau tidak membawa maksud menentang kepimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, atau keputusan parti.

“Sebagai ahli parti, saya kekal berpegang pada prinsip bahawa setiap keputusan perlu melalui saluran yang betul. Saya menasihati sahabat saya agar menangguhkan sebarang kenyataan atau program awam sepanjang proses rayuan berlangsung bagi menjaga nama baik parti,” katanya lagi.

Nazri turut menegaskan kesetiaannya terhadap Muhyiddin serta seluruh struktur kepimpinan Bersatu, dan menyeru semua pihak supaya fokus kepada perjuangan rakyat, bukannya terjebak dalam polemik dalaman.

Sebelum ini, seramai 16 Ahli Parlimen Bersatu menandatangani surat kepada Muhyiddin bagi membantah tindakan terhadap Wan Saiful dan Wan Fayhsal, yang didakwa dibuat pada “masa janggal” serta boleh menjejaskan momentum sokongan terhadap belanjawan bayangan dikemukakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Antara yang menandatangani surat tersebut ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota Datuk Saifuddin Abdullah, Ketua Srikandi Bersatu Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), dan Ahli Parlimen Hulu Terengganu Datuk Rosol Wahid.

Ketegangan dalaman Bersatu terus memuncak selepas Lembaga Disiplin memecat Wan Saiful dan menggantung Wan Fayhsal atas dakwaan melanggar perlembagaan parti.

Empat ketua bahagian turut dipecat, manakala beberapa pemimpin lain termasuk Hamzah dan Saifuddin dipanggil untuk sesi pendengaran.

BBerkaitan

Latest articles