Seorang lelaki Malaysia berusia 59 tahun telah diculik di luar rumahnya di Johor Bahru ketika dia sedang bersiap untuk menaiki perkhidmatan e-hailing ke Lapangan Terbang Senai.
Tiga lelaki bertopeng tiba-tiba muncul, memukulnya dengan kayu dan mengancamnya dengan pistol sebelum menculiknya. Mangsa diikat tangannya dengan rantai dan matanya ditutup dengan kain, sebelum dibawa ke sebuah bilik gelap kira-kira 10 minit dari rumahnya.
Memetik laporan China Press, Mangsa memilih untuk berdiam diri sepanjang penculikan bagi mengelakkan kecederaan lebih teruk, memandangkan penculik tersebut bersenjata.
Pada mulanya, penculik menuntut wang tebusan sebanyak RM30 juta tetapi akhirnya bersetuju dengan jumlah RM20 juta.
Seorang rakan dari Singapura telah memindahkan RM15 juta melalui pautan yang diberikan oleh penculik. Baki RM5 juta dibayar secara tunai di sebuah kawasan perumahan di Johor Bahru.
Mangsa dibebaskan sekitar jam 7 malam pada hari yang sama, kira-kira 14 jam selepas diculik, dan melaporkan kejadian tersebut kepada polis kira-kira dua jam selepas pembebasannya.
Dia mengalami kecederaan ringan, termasuk luka di paha kirinya dan calar di pergelangan tangannya.
Tambah laporan itu lagi, mangsa dikatakan seorang pemaju hartanah terkenal yang sebelum ini menyelesaikan satu urusan tanah besar di kawasan Segi Tiga Emas Kuala Lumpur. Walaupun memiliki kekayaan, beliau dikenali kerana berpakaian kasual dengan memakai baju berlengan pendek, seluar pendek, dan selipar, serta mengekalkan profil rendah.
Dengan pelbagai kepentingan perniagaan, beliau kerap berulang-alik antara Johor Bahru dan Kuala Lumpur untuk urusan perniagaan.