Seorang Lagi Mangsa Meninggal Dalam Nahas Membabitkan Honda Jazz

KUALA LUMPUR: Seorang lagi mangsa kemalangan di persimpangan lampu isyarat Matahari Heights, Persiaran Senawang 1, yang berlaku pada Khamis lalu, disahkan meninggal dunia pada malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, berkata mangsa berusia 17 tahun itu menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7.23 malam ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ).

“Kematian ini menjadikan jumlah keseluruhan remaja yang terkorban akibat kemalangan tersebut meningkat kepada tiga orang. Mangsa merupakan penunggang motosikal Honda Vario yang menunggang bersama rakan lelakinya berusia 13 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Jenazah mangsa dijangka dikebumikan malam ini di Tanah Perkuburan Islam Taman Maqbarak Salimah, Taman Zaitun Indah, dekat Sikamat.

Sebelum ini, dua remaja lelaki berusia 15 dan 16 tahun turut maut dalam insiden sama apabila motosikal yang mereka naiki dirempuh sebuah kereta Honda Jazz.

Difahamkan, kenderaan itu dipandu oleh seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang tidak mempunyai lesen memandu. Dia didakwa gagal memberhentikan kenderaan ketika lampu isyarat merah, sebelum merempuh dua motosikal.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.30 malam itu, Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, dan pemboncengnya, Muhammad Aswari Lotpi, 16, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Selain itu, empat individu lain, termasuk pemandu dan penumpang Honda Jazz serta penunggang dan pembonceng motosikal Honda Vario, mengalami kecederaan parah dan sedang menerima rawatan di HTJ Seremban.

BBerkaitan

Latest articles