Sentuhan Kasih Desa @ Tuaran Meriah Dua Hari, Platform Dekatkan Pemimpin, Rakyat

TUARAN: Program Sentuhan Kasih Desa (SKD) @ Tuaran anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kembali memeriahkan suasana luar bandar dengan pelbagai pengisian menarik yang menggabungkan hiburan, keusahawanan dan pembangunan komuniti, bermula 14 hingga 15 November ini di Pusat Latihan RELA Tuaran, Sabah.

Program selama dua hari itu bukan sekadar acara santai, sebaliknya menjadi wadah mempererat hubungan antara pemimpin dan rakyat selain mempamerkan komitmen kerajaan dalam memperkasa komuniti desa selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Panglima Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 14 November jam 7.30 malam.

Menurut Ketua Penolong Setiausaha Kanan KKDW, Ahmad Syah Ejaz Ismail, program ini bukan sahaja bertujuan menyemarakkan semangat kemasyarakatan, tetapi turut menjadi medium penglibatan komuniti secara langsung dalam suasana harmoni dan mesra.

“Penganjuran Sentuhan Kasih Desa berperanan memperkukuh hubungan antara kerajaan dan rakyat, selain mencerminkan kekayaan seni budaya tempatan. Ia juga menjadi platform menggilap bakat, memupuk semangat perpaduan serta memperkasakan ekonomi desa,” katanya.

Beliau berkata, program kali ini menampilkan Konsert Kemuncak Sentuhan Kasih Desa @ Tuaran yang menjanjikan persembahan memukau daripada artis tersohor tanah air termasuk Datuk Khatijah Ibrahim, Ameng Spring, Datuk Jeffrydin dan Ani Mayuni, yang turut bertindak sebagai pengacara majlis.

Turut memeriahkan pentas ialah selebriti popular Sabah, Joveana Jim Lajim dan Tati Atitih Yati Robert, Juara Unduk Ngadau Kaamatan Negeri Sabah 2025.

Selain konsert, pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik termasuk Pertandingan E-Sports, Pertandingan Karaoke Tuaran Golden Voice, serta pameran produk keusahawanan desa membabitkan 55 usahawan bimbingan KKDW.

“Melalui penyertaan ini, para usahawan boleh memperkenalkan produk mereka, membuka jaringan perniagaan baharu dan memperluas pasaran ke peringkat lebih tinggi. Ia juga menjadi dorongan kepada lebih ramai usahawan desa untuk berdaya saing dan menjana ekonomi setempat,” tambah Ahmad Syah Ejaz.

Dalam program itu juga, Ahmad Zahid akan menyampaikan bantuan bakul makanan secara simbolik kepada 5,000 penerima yang terdiri daripada kumpulan e-Kasih, mangsa bencana, komuniti kelas KEMAS serta keluarga B40 pelajar Tabika KEMAS.

Turut disediakan pelbagai perkhidmatan langsung kepada masyarakat termasuk kaunter geran keusahawanan, khidmat institusi TVET KKDW, PKD Mobile, serta servis percuma GIATMARA seperti gunting rambut dan penyelenggaraan penyaman udara kenderaan.

Bagi menggalakkan pengunjung berbelanja di reruai usahawan, 2,000 kupon jualan bernilai keseluruhan RM10,000 akan diedarkan secara percuma setiap hari sebagai insentif kepada pengunjung terawal.

Seramai 240 anggota Jawatankuasa Komuniti Desa Madani (JKDM) Parlimen Tuaran turut dijemput hadir bagi memeriahkan program serta memperkukuh semangat perpaduan komuniti desa.

“Melalui pendekatan turun padang seperti ini, KKDW dapat menyantuni masyarakat luar bandar secara langsung, memahami keperluan mereka dan menyalurkan bantuan serta inisiatif bersesuaian demi kesejahteraan komuniti desa,” ujar beliau.

BBerkaitan

Latest articles