KUALA LUMPUR: Jualan Starbucks kembali membaik pulis dan menyaksikan peningkatan selepas beberapa ketika ia berdepan dengan Langkah boikot rakyat negara ini atas isu perang Palestin-Israel.
Pengasasnya, Tan Sri Vincent Tan percaya perkembangan positif ini berlaku selepas pengguna sendiri kini lebih realistik dan sedar bahawa Starbucks, di bawah kendalian Berjaya Group tidak menyumbang apa-apa terhadap Israel, termasuk memiliki kepentingan tertentu.
“Orang ramai menjadi lebih realistik. Kami tidak boleh berbuat apa-apa tentang apa yang Israel lakukan, atau apa yang berlaku di Gaza.
“Orang ramai sedar (Starbucks Malaysia) tidak mencederakan sesiapa. Jika anda memboikot Starbucks, apakah kesannya kepada Israel? Amerika Syarikat (AS) akan menghantar lebih banyak wang kepada mereka,” katanya selepas melancarkan Brahmarpanam Soup Kitchen hari ini.
Selari dengan perkembangan ini, Tan berkata Starbucks Malaysia akan menumpukan kepada usaha menyatukan perniagaannya dan mengalu-alukan pelanggan kembali ke premisnya.
Berjaya Food Bhd (BFood) menghadapi cabaran besar susulan gerakan boikot terhadap Starbucks Malaysia, tercetus akibat konflik Israel-Palestin yang memberi kesan kepada operasinya.
Beberapa premis milik Berjaya Foods, terutama Starbucks ada yang terpaksa menutup operasinya secara kekal, selain jumlah besar yang lain menutup operasi sementara waktu.
Tindakan boikot rakyat Malaysia susulan serangan besar-besaran Israel terhadap Palestin menyaksikan Tan merayu kepada rakyat di negara ini untuk tidak memanjangkan lagi boikot kerana merugikan penduduk tempatan yang menjalankan syarikat itu, di mana 85% daripada kakitangannya adalah Muslim.