Senator Dari Bersatu Cuba Boikot RUU Anti-Lompat Parti?

KUALA LUMPUR: Rang undang-undang (RUU) anti-lompat parti yang perlu diluluskan di peringkat Dewan Negara didakwa bakal digagalkan oleh barisan senator daripada Bersatu.

FMT melaporkan bahawa wujud kebimbangan bahawa 12 senator Bersatu akan memanfaatkan bilangan mereka untuk menyekat RUU itu demi kepentingan parti.

Halangan meluluskan RUU berkenaan dipercayai timbul berikutan hubungan dingin antara UMNO dan Bersatu.

“Jika senator-senator ini mencuba langkah itu, (bermaksud) mereka mengutamakan kepentingan parti berbanding negara. Ini (tindakan) paling tidak bertanggungjawab, mementingkan diri sendiri dan keanak-anakan,” demikian memetik laporan FMT daripada sumber yang dipercayai seorang pemimpin politik.

Langkah ini dijangka susulan laporan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersedia memanggil pilihan raya umum (PRU) jika Perikatan Nasional (PN) menarik balik sokongan kepada kerajaannya.

Ketegangan antara Ismail dan PN dilaporkan meningkat apabila gabungan pimpinan Bersatu itu menuduh perdana menteri gagal menunaikan beberapa janji yang dibuat kepadanya, termasuk pelantikan timbalan perdana menteri.

Bagaimanapun, Bersatu menafikan laporan mengenai penarikan sedemikian.

Dewan Negara dianggotai 58 senator, termasuk 12 daripada Bersatu. Dua lagi ahli Bersatu dijangka mengangkat sumpah sebagai senator esok.

RUU itu, satu pindaan perlembagaan, memerlukan sokongan dua pertiga senator, atau 47 undi. Tanpa 14 undi Bersatu, hanya akan terdapat paling banyak 44 undi menyokongnya.

“Jika dihitung-hitung, (peluangnya) tipis. Tetapi saya yakin mereka akan mengutamakan kepentingan negara berbanding parti,” kata pemimpin politik itu.

Sementara itu, satu sumber kerajaan mengakui beliau “ada mendengar” ura-ura bahawa senator Bersatu tidak akan mengundi menyokong RUU itu.

“Saya difahamkan Menteri Parlimen dan Undang-Undang (Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar) akan bertemu dengan semua senator esok (Isnin) untuk memastikan sokongan mereka,” kata sumber itu lagi.

BBerkaitan

Latest articles