Program i-Sinar yang diumumkan menerusi pembentangan Belanjawan 2021, 6 Oktober lalu, kini diperluaskan kepada lapan juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan pengeluaran wang sehingga maksimum RM10,000 berbanding RM9,000 yang diumumkan sebelum ini.
Umno Beri Bayangan Ada ‘Khabar Gembira’ Esok
Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz ketika menyampaikan ucapan penggulungan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.
“Sekarang lapan juta ahli KWSP layak untuk mengeluarkan wang daripada Akaun 1 sama ada mereka dibuang kerja atau tidak, dikurangkan gaji atau tidak,” katanya.
Menurut Tengku Zafrul, bagi pencarum yang mempunyai baki Akaun 1 sebanyak RM90,000 dan ke bawah layak mengeluarkan wang sehingga maksimum RM10,000.
Ini akan melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM70 bilion, katanya.
Pengumuman berkenaan disambut dengan ketukan meha daripada ramai ahli parlimen yang menyambut baik perkembangan itu.
Sebelum ini program i-Sinar seperti diumumkan awal bulan lalu melibatkan hanya pencarum yang hilang kerja, diberi cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan.
Bagaimanapun ia mendapat kritikan dari pelbagai pihak, termasuk UMNO yang merupakan salah satu parti di dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) yang mendesak agar kerajaan membenarkan pengeluaran sehingga RM10,000 dan melibatkan seluruh pencarum KWSP.
Malah UMNO juga memberi syarat hanya menyokong Belanjawan 2021 sekiranya kerajaan menuruti permohonan berkenaan.
Satu lagi permohonan yang dibuat UMNO adalah lanjutan moratorium perbankan secara menyeluruh.
Bagaimanapun, kerajaan seperti yang dimaklumkan Tengku Zafrul hari ini mengekalkan keputusan yang sama iaitu bagi mereka yang pendapatan atau pekerjaannya terjejas.