Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin yang melakukan tinjauan di beberapa sekolah pada hari pertama sesi persekolahan dibuka semula hari ini, melihat semua warga sekolah bersemangat dan sentiasa beringat dengan peraturan serta kebiasaan baharu.
“Pagi tadi, kami ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cochrane dan SMK Taman Maluri, Kuala Lumpur untuk meninjau keadaan hari pertama murid kembali ke sekolah.
“Nampaknya semua warga sekolah bersemangat untuk memulakan sesi persekolahan dan sentiasa beringat dengan peraturan serta kebiasaan baharu,” kata Radzi di laman Facebooknya.
Katanya, meskipun sesi persekolahan berlangsung dalam suasana yang berbeza, guru dan pelajar dilihat cukup teruja kerana dapat bertemu dan kembali belajar bersama-sama di dalam bilik darjah.
“Semoga urusan hari ini dan seterusnya berjalan lancar untuk semua warga sekolah,” katanya yang turut mengucapkan selamat kembali ke sekolah.
Sekolah di seluruh negara ditutup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa pada 18 Mac lalu berikutan penularan COVID-19.
Pembukaan semula sekolah hari ini bagaimanapun hanya kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam dan antarabangsa yang setara pada tahun ini.
Ia membabitkan 500,444 pelajar di 2,440 sekolah menengah kebangsaan dan sejumlah sekolah antarabangsa yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Selain itu, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta peperiksaan antarabangsa.