Semua negara Asia Tenggara layak berada dalam Asean, kata Tok Mat

LANGKAWI – Malaysia menggesa ASEAN agar benar-benar mengamalkan prinsip keterangkuman dengan memberi ruang penuh kepada kesemua negara di rantau Asia Tenggara untuk menyertai blok serantau tersebut.

Dalam ucapan pembukaannya pada Permukiman Menteri Luar ASEAN di Langkawi hari ini, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, menekankan tema Kepengerusian Malaysia tahun ini, iaitu ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, perlu diterjemahkan dalam keanggotaan ASEAN.

“Kita mahu melihat prinsip ini dibuktikan dalam keanggotaan ASEAN. Asia Tenggara sebenarnya terdiri daripada 11 negara, bukan 10.
“Kesemua 11 negara berhak menyertai sepenuhnya dalam sebuah organisasi yang memperjuangkan kesejahteraan rantau ini,” jelas Mohamad, merujuk kepada Timor-Leste yang kini berstatus pemerhati dalam ASEAN.

Mohamad, yang juga dikenali sebagai Tok Mat, menegaskan bahawa kredibiliti ASEAN bergantung pada kemampuannya menegakkan prinsip keterangkuman yang dilaungkan. Justeru, beliau menyeru semua negara anggota supaya tidak sekadar beretorik, tetapi segera bertindak.

“Kita berharap semua negara anggota sedar, jika kita tidak mengotakan kata-kata mengenai keterangkuman dalam ASEAN, segala retorik hanyalah sia-sia.
“Kita perlu buktikan komitmen dengan menyokong satu sama lain,” katanya.

Permukiman tersebut turut dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Luar dan Kerjasama Timor-Leste, Bendito dos Santos Freitas, sebagai pemerhati. Tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa masa depan ASEAN merangkumi Timor-Leste demi meningkatkan potensi ekonomi serantau dan merealisasikan visi jangka panjang blok tersebut.

Timor-Leste diiktiraf sebagai negara pemerhati ASEAN serta telah menyertai Forum Serantau ASEAN (ARF) sejak 2005, sebelum membuat permohonan rasmi untuk keanggotaan penuh pada 4 Mac 2011. Ketika ini, negara berkenaan juga diberi kebenaran menghadiri pelbagai mesyuarat ASEAN, termasuk sesi pleno, namun belum diiktiraf sebagai anggota penuh.

 

BBerkaitan

Latest articles