Semua Calon PRN Sarawak Diingatkan Jaga Keselamatan Rakyat

KUCHING: Untuk mengelakkan penularan jangkitan COVID-19, semua calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak perlu memastikan langkah keselamatan asas dipatuhi ketika mengadakan lawatan ke kawasan ditandingi.

Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak, Datuk Abdullah Saidol, berkata itu perlu berikutan berkempen secara bersemuka dijangka dibenarkan pada PRN Sarawak.

Begitu juga dengan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu diamalkan seperti pemakaian pelitup muka, menyediakan cecair pencuci tangan dan tidak membenarkan terlalu ramai berkumpul.

“Difahamkan, ceramah di kawasan kampung dan rumah panjang dibenarkan dengan kehadiran penduduk di kawasan itu saja.

“Apabila langkah itu dilaksanakan, calon bertanding juga perlu menyediakan kit ujian kendiri COVID-19 untuk dibawa ke lokasi ceramah itu diadakan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perjumpaan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dimaklumkan belum lagi menetapkan SOP khas bagi PRN Sarawak.

Bagaimanapun satu laporan sebuah akhbar tempatan Sarawak semalam, menyebut bahawa SPR menetapkan tiada ceramah secara terbuka dibenarkan sepanjang tempoh berkempen.

Bagaimanapun, ceramah di kawasan kampung dan rumah panjang dibenarkan dengan kehadiran penduduk di kawasan itu dan orang luar tidak dibenarkan hadir.

Ziarah rumah ke rumah pula tidak dibenarkan sepanjang tempoh PRN.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, susulan kebenaran berceramah itu, calon atau jentera kempen perlu lebih bertanggungjawab dengan tidak terlalu ghairah berkempen sehingga mengabaikan keselamatan yang boleh membahayakan penduduk di kawasan yang mereka lawati.

“Kita tidak mahu keghairahan berkempen akan mencetuskan kluster baharu dan tidak mahu ia menjadi kemenangan yang pahit jika calon terbabit menang.

“Saya sendiri selalu mengingatkan jentera saya, tidak mengapa jika kita tidak berkempen secara bersemuka di kawasan tertentu kerana yang penting kita mengutamakan keselamatan penduduk dan diri kita sendiri,” katanya yang dijangka mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop.

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Advertisment

Terkini