Semua Calon BN Untuk PRN Akan Melalui Proses Tapisan, Penilaian Ketat – Jalaluddin Alias

UMNO Negeri Sembilan masih dalam proses menyenarai pendek calon-calonnya yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, kesemua calon tersebut akan melalui proses penilaian dan tapisan sebelum nama mereka disenarai pendek seterusnya diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk dibuat keputusan.

Tambah beliau, apa yang lebih penting kali ini, semua calon yang akan bertanding di kerusi-kerusi yang diperuntukkan mestilah terdiri daripada mereka yang peluang tertinggi untuk membawa kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

“Saya letakkan penanda aras iaitu setiap kerusi yang akan ditandingi oleh BN kelak, mana-mana individu atau parti yang akan diberikan peluang kali ini mestilah dalam kalangan yang dilihat akan memenangi kerusi itu.

“Calon yang mempunyai kemungkinan untuk menang lebih tinggi akan diberikan tempat dan peluang. Bukan ambil sebab mereka ketua bahagian ataupun sebab dia penyandang kerusi tetapi kali ini saya memikirkan soal kemenangan itu keutamaannya,” katanya.

Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Tautan Kasih dan Berbuka Puasa Bersama Kepemimpinan UMNO Bahagian Jelebu di Kompleks UMNO Bahagian Jelebu di Simpang Pertang di sini semalam.

Sementara itu, ditanya kedudukan peluang parti komponen BN iaitu MCA bagi bertanding pada PRN nanti, Jalaluddin menjelaskan, UMNO bersedia untuk memberikan salah satu kerusi daripada 15 kerusi yang dimenangi sebelum ini kepada MCA sekiranya ia didapati mempunyai peluang lebih tinggi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit.

“Umpamanya kerusi di DUN Pertang, jika selepas kajian, analisa dan tapisan dibuat dan dilihat MCA mempunyai lebih peluang (menang) maka kerusi itu akan diberikan kepada MCA.

“Kita akan tengok dan pertimbangkan, ia perkara biasa dan bergantung kepada kajian, jika mereka boleh menang kenapa tidak diberikan pertimbangan. Itu kriteria paling penting, jika lebih berpotensi untuk menang maka boleh dipertimbangkan,” katanya lagi.

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018, daripada 36 kerusi DUN yang dipertandingkan di Negeri Sembilan, 16 kerusi telah dimenangi oleh BN. Sebanyak 15 daripadanya milik UMNO manakala satu kerusi lagi iaitu di Jeram Padang dimenangi oleh MIC.

Majoriti 20 kerusi lagi pula dimenangi oleh PH yang sekali gus berjaya membentuk kerajaan negeri.

Mejelang PRN di enam negeri akan datang, kesepakatan telah dicapai di peringkat Pusat bahawa PH dan BN akan bekerjasama dan perundingan bagi pengagihan kerusi akan mengambil beberapa prinsip dan formula dengan yang utama parti yang menyandang akan diberikan peluang untuk mempertahankan kerusi tersebut.-UTUSAN.

BBerkaitan

Latest articles