KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan pada 12 Ogos ini perlu menyaksikan penghijrahan pengundi Kelantan daripada PAS kepada gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)
Gesaan itu disuarakan oleh Veteren UMNO, menerusi Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub dengan menambah, langkah menukar kepimpinan kerajaan negeri itu adalah sempena tahun baharu 1445 Hijrah.
Beliau menasihatkan para pengundi di Kelantan perlu melakukan perubahan dari yang buruk kepada yang baik demi masa depan Kelantan yang makmur dan maju.
“Berhijrah dari zaman kemuraman kepada zaman yang lebih gemilang dan cemerlang. Berhijrah dari sebuah negeri yang mundur kepada negeri yang maju,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut memetik sejarah Rasulullah SAW dan para sahabat telah melakukan pengorbanan dengan berhijrah meninggalkan bumi kelahiran mereka dari Mekah ke Madinah.
Beliau memberitahu, hijrah juga adalah penyatuan di mana kaum Muhajirin disatukan dengan Ansar.
Mustapha berkata, itulah iktibar yang wajar diambil oleh orang Kelantan khususnya penyokong PAS.
“Cukuplah membiarkan diri mereka ditipu oleh pemimpin PAS selama lebih 50 tahun dengan momokan agama yang kononnya Pas itu Islam dan Islam itu PAS. Undi PAS masuk syurga. Undi BN/PH itu kafir,” jelasnya.