KUALA LUMPUR: UMNO memberi peluang kepada bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian untuk kembali menyertai parti itu sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh perpaduan dalaman.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah berkenaan diambil bersempena bulan Ramadan yang sinonim dengan semangat kemaafan dan penyatuan.
Menurutnya, parti itu bersedia menerima semula mana-mana bekas ahli yang ingin kembali bersama perjuangan UMNO selain membuka ruang kepada individu baharu yang berminat menyertai parti berkenaan.
“Dalam semangat Ramadan yang penuh rahmat dan keampunan, segala kekhilafan serta perbezaan yang berlaku sebelum ini dimaafkan sepenuhnya.
“Ia bagi membuka lembaran baharu demi memperkukuh kembali keluarga besar UMNO,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Ahmad Zahid turut memaklumkan bahawa proses kemasukan semula bekas ahli serta penyertaan individu baharu akan diselaraskan oleh Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata, jawatankuasa itu akan memastikan semua proses berkenaan dilaksanakan selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan UMNO.
Pada masa sama, Zahid berharap inisiatif tersebut dapat menjadi titik permulaan kepada penyatuan semula dalam kalangan ahli parti.
Menurutnya, usaha berkenaan penting bagi memperkukuh kekuatan UMNO dalam meneruskan agenda perjuangan yang berpaksikan kepentingan agama, bangsa dan negara.










