KUALA LUMPUR: Pembangunan negara tidak seharusnya dinilai berdasarkan kemegahan bangunan pencakar langit atau kecanggihan infrastruktur semata-mata, sebaliknya perlu berpaksikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemajuan sebenar sesebuah negara diukur melalui kualiti kehidupan rakyat yang berlandaskan prinsip keadilan serta memenuhi keperluan semua lapisan masyarakat.
Menurut beliau, setiap agenda pembangunan perlu dilaksanakan secara inklusif bagi memastikan tiada mana-mana kelompok tercicir daripada arus kemakmuran negara.
“Segala usaha pembangunan mesti memastikan manfaat kemajuan dapat dinikmati secara saksama oleh seluruh rakyat, tanpa ada yang tersisih,” katanya menerusi hantaran di media sosial sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan akan terus memperkukuh nilai ihsan, saling menghormati serta semangat kebersamaan demi menjamin keharmonian, kestabilan dan kesejahteraan negara secara berterusan.
Anwar turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut Ulang Tahun Wilayah Persekutuan kepada seluruh warga Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, sambutan Hari Wilayah Persekutuan bukan sekadar mengimbau sejarah penubuhan, sebaliknya menjadi peringatan terhadap tanggungjawab memastikan bandar berfungsi dengan baik dan mesra rakyat.
Menurutnya, tadbir urus bandar perlu bersifat responsif serta berani memperbetulkan kelemahan demi kesejahteraan penduduk.
“Pembangunan infrastruktur mesti diperkukuh tanpa menjejaskan fungsi sosial. Kita bukan sekadar membina fizikal bandar, tetapi membentuk pengalaman hidup yang adil, terbuka dan selesa untuk semua. Bandar ini milik rakyat,” katanya.
Beliau turut menegaskan kepentingan menyediakan ruang awam dan kemudahan bandar yang inklusif, mudah diakses serta aktif digunakan oleh semua golongan termasuk keluarga, belia, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
“Keselamatan bandar dibina melalui reka bentuk yang baik dan keterlihatan, bukannya sekatan semata-mata. Taman, padang dan laluan pejalan kaki adalah keperluan asas bandar, bukan sekadar pelengkap,” tambahnya.










