KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad menghargai bantuan pelbagai pihak yang membantunya melunaskan RM830,034.75 kepada peguam tiga pemimpin DAP dalam kes fitnah mereka terhadapnya.
Mahkamah Tinggi sebelum ini mendapati Siti Mastura bersalah atas tuduhan memfitnah kerana mengaitkan ketiga-tiga pemimpin DAP, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok dengan mendiang pemimpin Parti Komunis Malaya Chin Peng dalam ceramah pilihan raya.
Menerusi satu surat penghargaan, Siti Mastura berkata beliau berterima kasih dengan pimpinan, ahli, penyokong PAS, orang awam dan pertubuhan di atas sumbangan terbabit.
“Saya juga merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan dan doa berterusan sama ada secara langsung atau tidak langsung sepanjang saya melalui fasa ini.
“Semoga Allah memberikan ganjaran sebaiknya di atas bantuan dan sokongan semua,” katanya.
Bayaran itu dibuat ke akaun SN Nair & Partners, firma guaman mewakili Kit Siang, Guan Eng dan Kok dalam saman fitnah mereka terhadap wakil rakyat PAS itu.
Peguam mewakili Siti Mastura, Yusfarizal Yusoff memaklumkan perkara itu di Mahkamah Tinggi ketika permohonannya untuk menangguhkan penghakiman sementara menunggu rayuan ke Mahkamah Rayuan dikemukakan di hadapan Hakim Quay Chew Soon dalam kamar.
Tahun lalu, mahkamah memerintahkan Siti Mastura membayar RM300,000 kepada Kit Siang, RM250,000 kepada Guan Eng, RM200,000 kepada Kok dan RM25,000 sebagai kos guaman kepada setiap seorang.
Mahkamah memutuskan kenyataannya tidak berasas dan merosakkan reputasi pemimpin.
Siti Mastura telah memohon penangguhan pelaksanaan bagi menangguhkan pembayaran.
Pengurusan kes untuk rayuan itu ditetapkan pada 13 Mac.