KUALA LUMPUR: Selepas lima hari dimasukkan ke Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) untuk rawatan susulan, Datuk Seri Najib Razak akhirnya dihantar semula ke Penjara Kajang hari ini .
Memetik kenyataan HRC memaklumkan Najib dalam keadaan baik ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.
Malah Ahli Parlimen Pekan itu juga telah mendapat tunjuk ajar oleh Jurupulih Perubatan Fisioterapi dan boleh menjalankan latihan teknik senaman secara kendiri.
“Pakar perunding yang berkaitan juga telah mengadakan sidang keluarga bersama beliau dan ahli keluarga terdekat, yang mana mereka telah dimaklumkan situasi terkini keadaan kesihatan serta pelan pemantauan kesihatan beliau,” katanya.
HRC berkata, pihaknya akan terus komited dan telus dalam memberi perkhidmatan bagi memastikan pesakit yang dirawat dapat mencapai tahap potensi optimum serta mencapai tahap kefungsian yang maksimum.
Baru-baru ini, Jabatan Penjara Malaysia memaklumkan Najib telah dirujuk ke HRC untuk diberi rawatan dan pemantauan lanjut.
Katanya, Najib akan dihantar semula ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman sebaik sahaja pakar perubatan HRC atau HKL memberikan pelepasan perubatan ke atas beliau.