Selesai Padanan DNA, Waris Boleh Tuntut Mayat 9 Lagi Mangsa Nahas

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khana memaklumkan baki sembilan jenazah mangsa nahas pesawat terhempas di Persiaran Elmina 8, Seksyen U16, Shah Alam pada Khamis lalu boleh dituntut oleh waris dan ahli keluarga mulai hari ini.

Proses mengenal pasti identiti mayat yang menggunakan kaedah pemadanan sampel DNA selesai pada hari ini dan proses penyerahan jenazah akan dilakukan secara teratur.

“Saya telah menghadiri mesyuarat bersama semua agensi yang terbabit bencana berkenaan sebentar tadi bermula 8.30 malam ini dan dimaklumkan bahawa keputusan ujian DNA untuk kesemua mangsa sudah diperolehi dan identiti mangsa juga berjaya dikenal pasti.

“Kita kemudian telah memutuskan untuk menyerahkan jenazah kesemua mangsa terkorban itu kepada waris dan ahli keluarga masing-masing bermula jam 9 pagi esok (Ahad),” katanya dalam sidang media di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR), malam semalam.

Tambah beliau, pihak polis akan menghubungi dan memaklumkan kepada setiap waris dan ahli keluarga mengenai penyerahan jenazah bermula pada malam ini.

Menurut Hussein, jenazah akan diuruskan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk dibawa ke Masjid Al-Rahimiah, di sini, untuk disolatkan sebelum dibawa ke kawasan pengebumian yang diaturkan waris dan ahli keluarga masing-masing.

“Pegawai penyiasat kami akan menghubungi setiap waris mangsa untuk meminta mereka membuat laporan polis dan dalam hal ini kita akan menjelaskan dan membimbing keluarga mangsa tentang prosedur membuat laporan itu agar memudahkan proses serahan jenazah esok di Jabatan Forensik di sini (HTAR),” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles